PENILAIAN PELAKSANAAN KURIKULUM MATA PELAJARAN SAINS RUMAH TANGGA MENGGUNAKAN MODEL STAKE COUNTENANCE: SATU KAJIAN LITERATUR
JOURNAL OF VOCATIONAL EDUCATION STUDIES (JOVES)
Volume 2, Number 1, 2019, pp. 37-46.
p-ISSN: 2614-7483, e-ISSN: 2614-7475, DOI: https://doi.org/10.12928/joves.v2i1.647.
Penilaian Pelaksanaan Kurikulum Mata Pelajaran Sains Rumah
Tangga Menggunakan Model Stake Countenance: Satu Kajian
Literatur
Nor Asimah Zakaria1,2
1Universiti
Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak 35900 Malaysia
2Universiti Sains Malaysia,Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, 11800 Pulau Pinang, Malaysia
*Corresponding author, e-mail:
Abstract
The purpose of this concept paper was to discuss and analysis evaluation models using in the
curriculum implementation or educational program evaluation. This paper focused on secondary
school home science education subject and Stake Countenance Model. This model focused on
congruence between what was intended to occur and what was actually observed to occur before,
during, and after curriculum implementation. The Stake Countenance Model used antecedents,
transactions and outcomes as a core concept to structure the view of the curriculum implementation
evaluation or an educational program evaluation. The Stake model demonstrated its effectiveness by
facilitating a thorough examination of both quantitative and qualitative research method.
Keywords: Model stake countenance, Curriculum, Home science education.
Abstrak
Kertas konsep ini adalah bertujuan untuk membincangkan dan menganalisis model penilaian yang
digunakan dalam penilaian pelaksanaan kurikulum atau program pendidikan. Kertas konsep ini
memberi tumpuan kepada Mata Pelajaran Sains Rumah Tangga sekolah menengah yang diajar pada
peringkat menengah atas dan Model Stake Countenance. Model ini membincangkan dua matrik iaitu
matrik deskripsi dan matrik pertimbangan yang memberi tumpuan kepada kepada kesesuaian
antara apakah yang dirancang untuk berlaku dan apakah yang sebenarnya berlaku semasa
perlaksanaan dengan melakukan pemerhatian sebelum, semasa, dan selepas pelaksanaan sesuatu
kurikulum atau program pendidikan. Model Stake Countenance membincangkan tiga fasa
pengumpulan data; masukan, proses dan hasil sebagai teras konsep dalam penilaian pelaksanaan
kurikulum atau penilaian program pendidikan. Model Stake menunjukkan keberkesanannya dengan
memudahkan penilai membuat pertimbangan menyeluruh dengan menggunakan kaedah
penyelidikan kuantitatif atau kualitatif.
Kata Kunci: Model Stake Countenance, Kurikulum, Pendidikan Sains Rumah Tangga.
PENGENALAN
Penilaian adalah satu proses berterusan untuk menentukan kurikulum yang digubal
dan dicadang dilaksanakan dalam pengajaran oleh guru. Disamping itu hasil dapatan
penilaian dapat memberi bimbingan dan panduan kepada pemegang taruh untuk mengatasi
dan memperbaiki kekurangan yang wujud. Kaedah kualitatif dan kuantitatif boleh
digunakan dalam pelaksanaan penilaian bagi mendapat maklum balas yang memberi
gambaran sebenar dan menyeluruh. Hasil maklum balas kajian boleh diambil perhatian
dalam menjalankan kurikulum atau program pendidikan lain pada masa hadapan. Pelbagai
teknik penilaian boleh dan pernah digunakan untuk menilai pelaksanaan sesuatu
kurikulum. Di antaranya ialah pemerhatian, temu bual pentadbir, guru dan murid serta
pihak yang terlibat dalam pelaksanaan sesuatu kurikulum itu.
Penilaian merupakan satu komponen penting dalam semua kurikulum atau program
pendidikan bagi mengkaji tujuan program, matlamat dan objektif program serta aktiviti
pembelajaran mengikut perancangan yang telah dicadangkan pada awal penggubalan
sesuatu kurikulum. Justeru itu, pemilihan model penilaian yang tepat akan memberi
Received April 26, 2019; Revised June 3, 2019; Accepted June 25, 2019
JOVES
38
maklumat yang memyeluruh kepada sesebuah organisasi dalam membuat keputusan.
Kertas konsep ini membincangkan model penilaian dalam kurikulum dan program
pendidikan.
DEFINISI PENILAIAN
Tyler (1942) yang dianggap sebagai pelopor dalam bidang penilaian mendefinisikan
penilaian sebagai satu proses penentuan pencapaian objektif. Scriven dalam Fitzpatrick,
Sanders, & Worthen (2017) pada awalnya mendefinisikan penilaian sebagai satu proses
pertimbangan sesuatu perkara yang dinilai. Manakala Rossi (2018) menyatakan bahawa
penilaian adalah satu piawaian atau kriteria yang digunakan untuk menilai prestasi sesuatu
perkara yang dinilai dan menawarkan maklumat dalam membuat keputusan. Scriven
(1999) menerangkan bahawa penilaian mempunyai dua cabang iaitu pertama, cabang
mengumpul data dan kedua cabang bagi menjelaskan serta mengesahkan nilai dan
piawaian yang berkenaan. Stufflebeam & Shinkfield (2012) menjelaskan bahawa penilaian
adalah satu proses pengumpulan maklumat yang diperlukan berkaitan dengan sesuatu
program atau pelaksanaan sesuatu kurikulum yang dinilai berdasarkan tiga garis panduan
yang penting iaitu; (i) menerangkan dengan tepat (delineating information) persoalan
kajian yang dinilai, (ii) memperoleh maklumat (obtaining information) yang dinilai dan (iii)
menyediakan maklumat (providing information) itu bagi membolehkan keputusan dibuat
oleh pihak yang berkaitan dalam sesebuah organisasi.
Manakala Mamat (1996) menjelaskan bahawa penilaian adalah satu proses yang
menentukan siapa dan kenapa sesuatu penilaian dilaksanakan. Oleh itu, berdasarkan
kepada penjelasan yang dinyatakan penilaian boleh dirumuskan kepada empat definisi
utama iaitu, pertama penilaian adalah satu tindakan pentaksiran nilai. Penumpuan lebih
kepada nilai, kedua penilaian adalah satu ketetapan sejauh manakah objektif pelaksanaan
program atau kurikulum yang dikehendaki telah dicapai dan penumpuannya adalah
berfokus kepada pencapaian objektif sesuatu program atau kurikulum yang dilaksanakan,
ketiga penilaian adalah satu tindakan memperoleh dan mengumpul maklumat yang
berfaedah untuk dijadikan pilihan dalam membuat keputusan dan penumpuannya lebih
berfokus kepada menentukan keputusan yang akan dibuat dan akhir sekali, keempat
penilaian juga merupakan satu tindakan perbandingan diantara bukti yang sah dengan
kriteria atau piawaian yang telah ditetapkan untuk membuat pertimbangan dan
penumpuan lebih berfokus kepada pertimbangan. Justeru itu, dapat disimpulkan bahawa
makna penilaian adalah berkisar pada tiga persoalan utama, iaitu; (i) Apa –membuat
perbandingan hasil iaitu bukti dengan kriteria atau piawaian yang telah ditetapkan pada
awal tindakan penilaian dilaksanakan, (ii) Bagaimana – dilaksanakan secara tersusun dan
sistematik dan (iii) Kenapa - untuk mendapatkan keputusan dan kesimpulan yang boleh
diguna untuk menambah baik sesuatu program pendidikan atau kurikulum pendidikan.
DEFINISI KURIKULUM
Tyler (1949) mendefinisikan kurikulum sebagai seluruh pengalaman pembelajaran
yang dirancang dan diarahkan oleh sekolah berdasarkan empat komponen asas iaitu tujuan
pendidikan, proses pembelajaran, organisasi isi kandungan serta bahan pengajaran dan
penilaian pembelajaran. Manakala Ornstein & Hankins (2013) mentakrifkan kurikulum
sebagai satu pelan atau rancangan untuk tindakan atau satu dokumen bertulis yang
mengan (...truncated)