Pelaksanaan Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab, Fardu Ain ( j-QAF) dalam Program Pendidikan Khas Integrasi
JURNAL ORTOPEDAGOGIA, VOLUME 4 NOMOR 1 JULI 2018: 59-65
Pelaksanaan Jawi , Al-Quran, Bahasa Arab , Fardu Ain ( j-QAF)
dalam Program Pendidikan Khas Integrasi
Safarina Ujang, Norshidah Mohamad Salleh
Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 Bangi, Selangor, Malaysia
E-mail:
Abstrak : Artikel ini adalah satu meta analisis berkaitan program j-QAF yang dilaksanakan di Malaysia
dalam program Pendidikan Khas Integrasi (PKKI). Oleh sebab kebanyakan Guru Pendidikan Islam yang
melaksanakan j-QAF dalam Program Pendidikan Khas Integrasi adalah tidak berlatarkan belakangkan
pengkhususan dalam bidang Pendidikan Khas maka terdapat permasalahan yang dihadapi oleh guru
sebagai pelaksananya. Objektif artikel ini ialah untuk mengenal pasti pengetahuan Guru Pendidikan
Islam (GPI) melaksanakan j-QAF dalam program Pendidikan Khas. Selain itu tujuannya adalah untuk
mengetahui tahap kesediaan Guru Pendidikan Islam (GPI) dalam Program Pendidikan Khas Integrasi.
34 artikel telah dianalisis berkaitan dengan kata kunci yang berkaitan dengan program j-QAF . Artikel
yang dirujuk bagi reka bentuk kajian meta analisis ini didapati daripada Jurnal Pendidikan Islam, Jurnal
Pendidikan dan prosiding yang dicapai menggunakan pangkalan data EBSCOHOST . Dapatan daripada
analisis artikel ini menunjukkan bahawa pengetahuan Guru Pendidikan Islam berkaitan pelaksanaan
j-QAF dalam Program Pendidikan Khas masih berada pada tahap sangat rendah. Manakala tahap
kesediaan Guru Pendidikan Islam melaksanakan j-QAF dalam Program Pendidikan Khas Integrasi
adalah sederhana dan perlu kepada pengukuhan pedagogi pengajaran Murid Berkeperluan Khas. Hasil
daripada penulisan artikel ini akan dapat menambah pengetahuan dan memperbaiki amalan pengajaran
serta memantapkan pelaksanaan j-QAF dalam Program Pendidikan Khas Integrasi.
Kata Kunci: j-QAF, Guru Pendidikan Islam, Program Pendidikan Khas, Bermasalah Pembelajaran,
Pengetahuan, Peranan GPI
Pelaksanaan Program j-QAF di Pendidikan Khas
di Malaysia adalah suatu usaha kerajaan dalam
memperkasakan mata pelajaran Pendidikan Islam di
Pendidikan Khas untuk murid-murid berkeperluan
khas terutamanya terhadap murid kategori bermasalah
pembelajaran. Perkataan j-QAF adalah akronim
atau singkatan bagi Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan
Fardu Ain yang telah di perkenalkan oleh mantan
Perdana Menteri Malaysia iaitu Tun Abdullah Ahmad
Badawi pada tahun 2005. Melalui program j-QAF ini
penekanan diberikan khususnya dalam pengajaran dan
pembelajaran al-Quran berasaskan Model Kaedah Iqra’
dan pengajaran dan pembelajaran Fardhu Ain adalah
menggunakan Model Amali Solat serta dilaksanakan di
peringkat sekolah rendah. Model-model tersebut telah
di ubahsuai mengikut keupayaan serta penguasaan
murid berkeperluan khas. Pelaksanaan j-QAF
di
Pendidikan Khas di laksanakan di dalam Program
Pendidikan Khas Intergrasi (PKKI) adalah berdasarkan
pekeliling KPM Bil 2./2007 bertarikh 15 sehingga 17
Jun 2007. (Kementerian Pelajaran Malaysia,2007).
Kurikulum j-QAF pendidikan khas ini telah
diubahsuai mengikut tahap penguasaan murid
berkeperluan khas di samping menggunakan
peruntukan Tabel waktu sedia ada. Kepentingan
program j-QAF di Pendidikan Khas juga amat menitik
beratkan penguasaan bacaan al-Quran dan Amali Solat
di kalangan murid berkeperluan khas (Sabariah Bahrun,
Saiful Akhyar Lubis, & Fakhrul Adabi Abdul Kadir,
2014). Di samping itu juga, kemahiran yang dipelajari
oleh murid-murid di aliran perdana turut diterapkan
supaya modul-modul yang dipelajari di dalam program
tersebut dapat diamalkan dalam kehidupan seharian
di kalangan murid berkeperluan khas. Daripada sudut
perkembangan sudut fizikal murid-murid bermasalah
pembelajaran adalah terhad disebabkan kepelbagaian
kekurangan ketidakupayaan yang dialami oleh mereka
(Yusoff, 2014). Oleh yang demikian, strategi bagi
memperkukuhkan mata pelajaran Pendidikan Islam
murid bermasalah pembelajaran perlu dirancang dan
disusun sebaiknya. Ini bagi memastikan matlamat
Pendidikan Islam terhadap murid bermasalah
pembelajaran tercapai.
Selain daripada itu seperti yang diketahui bahawa
GPI mempunyai asas mengenai Pendidikan Islam
tetapi kurang mempunyai pengetahuan berkaitan
bidang pendidikan khas. Guru Pendidikan Islam hanya
dihantar berkursus dalam jangka masa yang singkat
dan hanya segelintir sahaja yang mempunyai Diploma
Perguruan Pengkhususan Pendidikan Khas. Malah
situasi ini menjadi kebimbangan kepada GPI apabila
dikehendaki mengajar murid-murid berkeperluan khas.
Justeru itu, objektif artikel ini ialah untuk mengetahui
tahap pengetahuan Guru Pendidikan Islam dalam
melaksanakan j-QAF dalam Program Pendidikan
Khas Integrasi. Selain itu, ia juga adalah untuk
mengetahui tahap kesediaan Guru Pendidikan Islam
dalam melaksanakan program j-QAF terhadap murid
59
Safarina Ujang, Norshidah Mohamad Salleh, Pelaksanaan Jawi , Al-Quran, Bahasa Arab , Fardu .
60 JURNAL ORTOPEDAGOGIA, VOLUME 4 NOMOR 1 JULI 2018: 59-65
bermasalah pembelajaran.
Dalam sistem pendidikan di Malaysia, Laporan
Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar
Pelajaran 1979 (perkara 124) mewajibkan mata
pelajaran Pengetahuan Ugama Islam kepada semua
murid sekolah yang beragama Islam. Selain itu, Akta
Pendidikan 1996 (akta 550) seksyen 50, pula telah
menetapkan bahawa jika dalam sesuatu institusi
pendidikan terdapat lima orang atau lebih yang
beragama Islam, maka murid-murid itu hendaklah
diberi pendidikan dan pengajaran agama Islam oleh
guru yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri.
Tempoh pengajarannya pula ialah sekurang-kurangnya
dua jam seminggu dalam waktu pengajaran biasa dalam
tiap-tiap institusi pendidikan itu atau dalam apa-apa
waktu lain yang telah ditetapkan oleh menteri dalam
hal mana-mana institusi pendidikan yang tertentu.
Murid yang berada di dalam kelas PPKI
bermasalah pembelajaran tidak terkecuali dalam
mendapat hak pendidikan di Malaysia serta mendapat
peluang untuk mempelajari Pendidikan Islam yang
merupakan teras pembentukan aspek rohani seseorang
individu itu(Bhasah Abu Bakar et al., 2012). Melalui
Pendidikan Islam, murid-murid PPKI berpeluang untuk
meningkatkan ilmu keagamaan, memperkembangkan
kemahiran dari segi sosial, memperolehi kelayakan
akademik yang lebih meluas dan berpeluang untuk
menjana minda serta idea mereka. Semua pengalaman
ini adalah amat berguna dan penting dalam usaha
bagi memantapkan sahsiah mereka sebagai modal
insan yang berguna. Pelbagai isu dan cabaran yang
dihadapi dalam pelaksanaan j-QAF dalam Program
Pendidikan Khas Integrasi masalah pembelajaran
untuk mempelajari Pendidikan Islam (Hajarul dkk,
(2010). Justeru, pemerkasaan pengurusan Pendidikan
Islam dalam pelaksanaan program j-QAF pendidikan
khas ini memerlukan langkah yang sistematik dalam
memastikan keberkesanan program ini setelah kerajaan
memberikan sepenuh tenaga dan usaha yang berterusan
bagi memastikan mereka yang berhak turut mendapat
pendidikan yang sepatutnya.
Menurut Sabariah Bahrun et al., (2014)
menyatakan ilmu j-QAF dilihat sebagai kandungan
ilmu yang hendak disampaikan kepada pelajar.
S (...truncated)